IMAM ABU HANIFAH ADALAH PENGASAS MAZHAB HANAFI
Imam Abu Hanifah dikenali dengan sebutan Imam Hanafi. Nama lengkap beliau adalah Nu’man bin Tsabit bin Zutha Al-Kufi. Lahir di Iraq pada tahun 80 Hijriah/699 M, bertepatan dengan zaman khalifah Bani Umayyah, Abdul Malik bin Marwan.
Beliau digelar dengan nama Abu Hanifah yang bermaksud suci dan lurus, kerana sejak kecil beliau dikenali dengan kesungguhannya dalam beribadah, berakhlak mulia, serta menjauhi perbuatan-perbuatan dosa dan keji. Dan mazhab fiqihnya dinamakan Mazhab Hanafi.
Ayahnya, Tsabit berasal dari keturunan Parsi sedangkan datuknya, Zutha berasal dari Kabul, Afganistan. Ketika Tsabit masih di dalam kandungan, dia dibawa ke Kufah, kemudian menetap sehingga Abu Hanifah lahir.
Ketika Zutha bersama anaknya, Tsabit berkunjung berjumpa Ali bin Abi Thalib, mereka didoakan agar kelak keturunan Tsabit menjadi orang-orang yang penting di zamannya, dan doa itu pun terkabul dengan kehadiran Imam Hanafi, namun tak lama kemudian ayahnya wafat.
Abu Hanifah dibesarkan di kota Kufah. Di kota inilah beliau mula belajar dan menimba banyak ilmu. Beliau juga pernah melakukan perjalanan ke Basrah, Makkah dan Madinah dalam rangka mengembangkan wawasan dan memperluas ilmu pengetahuan yang telah beliau peroleh.
MULA BELAJAR
Abu Hanifah juga telah menghafal Al-Quran sejak kecil. Di masa remaja, Imam Abu Hanifah mula menekuni belajar agama dari ulama-ulama terkemuka di Kota Kufah. Beliau sempat berjumpa dengan sembilan atau sepuluh orang sahabat Nabi seperti Anas bin Malik, Sahl bin Sa’d, Jabir bin Abdullah dan lain-lain.
Ketika berusia 16 tahun, dari Kufah, beliau menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan menziarahi kota Nabi SAW, Madinah al-Munawwarah. Dalam perjalanan ini, beliau berguru dengan tokoh tabi’in, Atha bin Abi Rabah, yang merupakan ulama terbaik di kota Mekah.
Jumlah guru Imam Abu Hanifah sebanyak 4000 orang. Di antaranya, 7 orang dari sahabat Nabi, 93 orang dari kalangan tabi’in dan selebihnya dari kalangan tabi’ at-tabi’in. Jumlah guru beliau yang banyak tidaklah menghairankan kerana beliau banyak menempuh perjalanan dan berkunjung ke pelbagai kota demi memperoleh ilmu agama.
Beliau menunaikan haji sebanyak 55 kali. Pada musim haji, para ulama berkumpul di Masjidil Haram menunaikan haji atau berdakwah kepada kaum muslimin yang datang dari berbagai penjuru negeri.
Guru-guru yang pernah beliau temui antara lain adalah :
1. Hammad bin Abu Sulaiman Al-Asy’ari, faqih kota Kufah
2. Atha bin Abi Rabah, faqih kota Makkah
3. Ikrimah, maula serta pewaris ilmu Abdullah bin Abbas
4 Nafi, maula dan pewaris ilmu Abdullah bin Umar serta yang lain-lain.
Beliau juga pernah belajar kepada ulama’ Ahlul-Bait seperti :
1. Zaid bin Ali Zainal ‘Abidin (79-122 H/698-740 M)
2. Muhammad Al-Baqir (57-114 H/ 676-732 M)
3. Ja’far bin Muhammad Al-Shadiq (80-148 H/ 699-765 M)
4. Abdullah bin Al-Hasan
Beliau juga pernah berjumpa dengan beberapa sahabat seperti :
1. Anas bin Malik (10 SH-93 H/ 612-712 M)
2. Abdullah bin Abi Aufa (wafat 85 H/ 704 M) di kota Kufah
3. Sahal bin Sa’ad Al-Sa’idi (8 SH-88 H/ 614-697 M) di kota Madinah
4. Abu Al-Thufail Amir bin Watsilah (wafat 110 H/729 M) di kota Makkah
MAZHAB HANAFI
Mazhab yang didirikan oleh Imam Abu Hanifah adalah Mazhab Hanafi yang merupakan salah satu mazhab fiqih dalam dalam Islam sunni. Mazhab Hanafi terkenal sebagai mazhab yang paling terbuka kepada idea-idea moden.
Mazhab ini diamalkan terutama dikalangan orang-orang Islam Sunni di Mesir, Turki, Tiongkok, anak benua India dan sebahagian Afrika Barat. Mazhab Hanafi merupakan mazhab terbesar dengan jumlah pengikutnya sebesar 30% meskipun pelajar Islam di seluruh dunia belajar dan melihat pendapatnya mengenai amalan-amalan yang diajarkan agama Islam.
Sejak pertama kali muncul, mazhab ini telah tersebar luas dan sangat berpengaruh di Negara Iraq. Mazhab Hanafi ialah mazhab rasmi Daulah Uthmaniyyah, dan masih berpengaruh di negara-negara bekas jajahan Daulah Uthmaniyyah seperti Negara Syria, Mesir, Bosnia, Lubnan, dan Turki.
METODOLOGI FIQIH ABU HANIFAH
Dasar-dasar ketetapan suatu hukum fiqh Abu Hanifah adalah dari :
1. Al-Qur’an karim
2. Sunnah, dimana beliau selalu mengambil sunnah yang mutawatir/masyhur. Beliau mengambil sunnah yang diriwayatkan dengan ahad hanya jika rawi darinya tsiqah.
3. Pendapat para Sahabat Nabi (Atsar)
4. Qiyas
5. Istihsan
6. Ijma’ para ulama
7. Urf masyarakat muslim
KITAB MAZHAB HANAFI
Imam Abu Hanifah merupakan imam yang melakukan usaha pengumpulan kitab untuk mazhab Hanafi. Beliau mengarang banyak kitab dan yang paling utamanya ialah enam buah kitab yang mana para ulama mazhab Hanafi mengatakan kitab-kitab ini merupakan Zahirul Riwayat kerana telah diriwayatkan oleh para perawi yang paling dipercayai. Adapun kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut :
1) Kitabul Asl yang juga dikenali dengan Al-Mabsuth
2) Kitab Al-Jaamik As-Saghir
3) Kitab Al-Jaamik Al-Kabir
4) Az-Ziyaadaat
5) As-Siyarus Saghir
6) As-Siyarul Kabir
MENOLAK PANGKAT DAN KEDUDUKAN
Imam Hanafi sentiasa menolak kedudukan tinggi, pangkat, kuasa dan wang. Akibat dari penolakannya itu, beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara, beliau diseksa, dipukul dan sebagainya.
Pernah pada suatu ketika, Imam Hanafi ingin diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Beliau tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain, Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi ditolaknya juga. Rupa-rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu, beliau disiasat dan diancam akan dihukum dengan hukuman dera.
Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukuman dera itu, Imam Hanafi menjawab,
"Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan."
Demikian beraninya, Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari, Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila, Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika itu, gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor memutuskan disertai dengan sumpah, "Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu, nescaya dia akan dihukum dengan pukulan".
Walaupun dengan ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, malah beliau tetap tegas tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya beliau diarah tangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, sehabis tempoh itu, beliau dipukul sebanyak 14 kali , setelah itu baru dibebaskan.
Beberapa hari sesudah itu, gabenor sekali lagi menawarkan jawatan Kadi, juga ditolaknya. Beliau ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak 10 pukulan. Namun demikian, Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sehingga beliau dilepaskan kembali setelah cukup 11 hari.
Akibat dari pukulan itu, muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman dipukul itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian, ketika Imam Hanafi diseksa beliau sempat berkata,
"Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti."
Ketika beliau berusia lebih 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian yang sama.
Kemudian pada tahun 132 H, sesudah dua tahun dari hukuman tadi, terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.
MAKAM IMAM HANAFI DI BAGHDAD
Pada tahun 132 H, sesudah Abu Abbas meninggal dunia, diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani, seorang ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari, Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya beliau datang mengadap ke istana. Sesampainya beliau di istana, baginda telah menawarkan jawatan kadi (hakim) kerajaan Baghdad.
Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya,
"Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?"
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya."
Kerana beliau masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada masa itu, para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.
Pada suatu hari, Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi beliau tetap menolak. Baginda bertanya,
"Apakah engkau lebih suka dalam keadaan seperti ini?"
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Wahai Amirul Mukminin, semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah, saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu."
Baginda berkata lagi, "Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu."
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Amirul Mukminin, sungguh tuan telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana tuan akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya."
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tsauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tsauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dipukul sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu hari Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Beliau dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu, Imam Hanafi dipenjarakan kembali. Imam Hanafi menutup usianya dalam tahanan dengan keadaan menderita diseksa.
Imam Hanafi tidak ingin kepada jawatan dan pangkat yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan.
Oleh sebab itu, mereka berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka dan membenarkan corak pemerintahan yang dilaksanakan, namun semuanya ditolak Imam Hanafi dan akhirnya beliau diseksa hingga membawa ke penamat hayatnya.
WAFATNYA
Imam Abu Hanifah wafat di Kota Baghdad pada tahun 150 H/767 M. Imam Ibnu Katsir mengatakan, “6 kelompok besar penduduk Baghdad menyolatkan jenazah beliau secara bergantian. Hal itu disebabkan banyaknya orang yang hendak menyolatkan jenazah beliau.”
Di zaman Turki Uthmaniyyah, sebuah masjid di Baghdad yang dirancang oleh Mimar Sinan didedikasikan untuk beliau. Masjid tersebut dinamakan Masjid Imam Abu Hanifah.
Sepeninggalan beliau, mazhab fikihnya terus digunakan oleh umat Islam, malah menjadi mazhab rasmi beberapa kerajaan Islam seperti Daulah Abbasiyah, Mughal dan Turki Uthmaniyyah. Hari ini, mazhab beliau banyak digunakan di Turki, Syria, Iraq, Balkan, Mesir dan India.
Kanti Suci Project